Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan alat pengesan bohong atau poligraf ketika merakam percakapan beberapa saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata ujian poligraf berkenaan akan digunakan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tambah Huzir, pihaknya telah merakam keterangan seramai 28 dari 30 saksi yang memberi keterangan ketika inkues bagi mengenal pasti kematian Muhammad Adib.

Dua lagi saksi inkues iaitu pakar patologi forensik United Kingdom, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid dan pakar fizik iaitu pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani belum dirakam keterangan mereka.

Selain itu, beliau turut mengesahkan dua pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah dipanggil untuk dirakam keterangan mereka siang tadi.

"28 daripada saksi-saksi berkenaan adalah saksi yang pernah kita rakamkan percakapan mereka semasa kita siasat kes tersebut di bawah Seksyen 307 (Kanun Keseksaan), cuma dua sahaja yang belum kita rakam iaitu dua orang pakar, Prof Shahrul dan Dr Amir.

"Daripada 28 saksi yang telah beri keterangan dan yang telah kita rakam keterangan mereka, tujuh orang kita katakan mereka ini saksi utama kerana mereka berada di kawasan persekitaran di mana kejadian kemalangan tersebut berlaku," katanya pada sidang media harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Jelasnya polis sedang mengesan beberapa individu yang gambar mereka telah diedarkan sebelum ini.

Katanya, jika individu berkenaan gagal dikesan, pihak polis akan mengedarkan gambar mereka untuk disiarkan di media.

27 september lalu, mahkamah koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.