Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan mahkamah berhubung kes liwat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Itu respons Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media pada Isnin kepada kumpulan kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkan penahanan Anwar sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan yang sama turut menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai sistem kehakiman yang bebas.

“Semua pihak termasuk mereka di luar negara perlu menghormati proses perundangan Malaysia, penghakiman mahkamah Malaysia dan hak mangsa untuk mendapatkan pengadilan.

“Banyak keputusan yang tidak memihak kepada tokoh-tokoh kanan kerajaan,” tambah kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, Pejabat Perdana Menteri menegaskan, kes liwat Anwar berunsur jenayah bukannya politik.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan yang membuat laporan polis, bukannya kerajaan.

“Mangsa, Saiful Bukhari, individu persendirian dan pekerja Anwar Ibrahim, yang membuat laporan polis dan membawa kes itu, bukan kerajaan.

"Anwar telah disabitkan melakukan jenayah, dan ini adalah satu kes jenayah bukan kes politik. Ia tidak ada kena mengena dengan kerajaan.

Sebelum ini, kumpulan kerja penahanan arbitrari PBB mendakwa penahanan Anwar dibuat secara sembarangan, jadi pertuduhan liwat terhadapnya adalah bermotifkan politik untuk mengaibkannya.

Pada 10 Februari, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Anwar bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya saiful, tujuh tahun lepas dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.