KUALA LUMPUR : Kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) seharusnya dibangkitkan lebih awal sebelum pelantikan beliau dibuat oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menyingkirkan Apandi tanpa sebarang justifikasi berhubung pelantikannya.

Menurut beliau, PPK tersebut bertujuan mengkaji opsyen-opsyen perundangan untuk Malaysia serta menyiasat berkaitan penarikan rayuan kes ini di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.

Sehubungan itu, Wan Junaidi menegaskan, adalah mustahil untuk beliau bertindak sewenang-wenangnya tanpa sebarang justifikasi untuk mengeluarkan Apandi sebagai Pengerusi apabila Jemaah Menteri membuat keputusan berkaitan pelantikan berkenaan.

“PPK hanya ingin mendengar dan mendapatkan pandangan mengenai situasi pada 2018 apabila kerajaan menarik balik rayuan kes ini di ICJ.

“Tun (Dr Mahathir Mohamad) sedia maklum akan pelantikan Pengerusi PPK oleh Jemaah Menteri dan beliau sebenarnya boleh menolak untuk hadir ke sesi pagi semalam di Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Wan Junaidi berkata demikian sebagai mengulas mengenai keengganan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir yang enggan memberi kerjasama berhubung temu bual semakan undang-undang kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bersama Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance pada semalam (28 Jun) di Jabatan Peguam Negara.

Tambah Wan Junaidi lagi, Dr Mahathir juga boleh membuat keputusan lebih awal untuk tidak hadir ke sesi tersebut kerana telah sedia maklum berhubung pelantikan Pengerusi PPK oleh Jemaah Menteri.

Beliau dalam masa sama menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan Ahli Parlimen Langkawi itu yang enggan bekerjasama berhubung perkara tersebut.

Wan Junaidi juga menegaskan, PPK bagaimanapun, akan meneruskan komitmen dan tanggungjawab untuk menghasilkan laporan akhir kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.