Skip to main content

Malaysia

Kes bekas PAT: 23 dokumen termasuk rakaman percakapan diserahkan kepada pembelaan

KUALA LUMPUR, 8 Mei -- Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam Jaffar hadir bagi sebutan kes empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 serta pecah amanah wang RM3 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tan Sri Mohd Nizam Jaffar hadir bagi sebutan kes empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 serta pecah amanah wang RM3 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 dokumen termasuk rakaman percakapan diterima pihak pembelaan dalam kes bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang berdepan empat pertuduhan termasuk menggunakan kedudukan dan pecah amanah wang RM3 juta.

Peguam Abdul Aziz Hamzah, yang mewakili Mohd Nizam, 59, berkata pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tambahan itu semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad, hari ini.

"Hari ini pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan pertuduhan seperti yang dimohon oleh pihak kami mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

"Kami diberitahu terdapat tiga set dokumen akan diserahkan, namun setakat ini dua set telah diserahkan. Antara dokumen diserahkan ialah rakaman percakapan dan minit mesyuarat," kata peguam itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding hari ini.

Terdahulu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb Rahman memaklumkan pihaknya menyerahkan dua set dokumen kepada pembelaan dan memohon tarikh sebutan seterusnya untuk penyerahan baki dokumen.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Nizam didakwa sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), menggunakan kedudukannya untuk suapan wang RM267,481.90 bagi dirinya sendiri, dengan melantik Sinar Bakti Global untuk menjalankan kerja “Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM468,000.

Tertuduh juga melantik Sinar Raudhah Global bagi menjalankan kerja “Pembekalan Kain Batik Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM52,000 dan Zahra Jaya Global untuk menjalankan kerja “Pembekalan Multifunctional Folding Pliers Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM750,000 kepada TKAT, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang RM285,000 bagi dirinya, dengan melantik QMZ Resources untuk menjalankan kerja “Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM600,000 dan melantik Helmee Resources untuk menjalankan kerja “Pembekalan Beg Galas Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM1,725,000 kepada TKAT.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, pada 4 Okt 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574], yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Mengikut pertuduhan keempat, Mohd Nizam didakwa menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd yang mungkin ada kaitan dalam urusan akan dijalankan olehnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang berdepan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video