NATIONAL

Kes Bella: Rayuan Siti Bainun ditangguh, teliti notis libatkan saksi pendakwaan

Astro Awani 19/05/2025 | 05:20 MYT
Haijan (kiri) ketika ditemui media di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman pada Isnin, selepas prosiding rayuan wanita itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mengabaikan dan menganiayai remaja sindrom down dikenali sebagai Bella pada 2021. -Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Isnin menangguhkan pendengaran permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan menangguhkan pendengaran rayuan Siti Bainun terhadap hukuman penjara 12 tahun kerana pengabaian dan penganiayaan remaja sindrom Down, Bella, selepas pembelaan memohon keterangan tambahan berkaitan laporan polis oleh ibu Zayn Rayyan.
  • Peguam Siti Bainun mengemukakan tiga permohonan: memasukkan notis usul laporan polis, memanggil Ismanira untuk beri keterangan, dan memanggil semula saksi utama pendakwaan.
  • Siti Bainun dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada Mei 2023, dengan hukuman berjalan serentak, serta diperintah menandatangani bon berkelakuan baik dan menjalani khidmat masyarakat selepas tamat hukuman.


Ia selepas pihak pembelaan mengemukakan satu notis usul untuk memohon keterangan lanjut berkaitan satu laporan polis dibuat oleh ibu Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf yang melibatkan seorang saksi pendakwaan dalam kes Siti Bainun.

Peguam, Haijan Omar yang mewakili Pengasas Rumah Bonda itu memohon mahkamah membenarkan permohonan Siti Bainun, 33, selaku perayu, sebagai keterangan baharu atau tambahan semasa pendengaran rayuan utama kelak.

Haijan memaklumkan anak guamnya tiada kaitan dalam kes Zayn Rayyan dan notis usul itu hanya berkaitan dengan saksi pendakwaan bagi kes berkenaan.

“Di sini, kami membuat tiga permohonan iaitu, pertama untuk memasukkan notis usul berkaitan laporan polis yang dibuat Ismanira, dan kedua, memanggil wanita terbabit untuk keterangan lanjut.

“Ketiga ialah memanggil semula salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes Siti Bainun ke mahkamah ini,” katanya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Choo Kah Sing menetapkan tarikh 3 Jun untuk pengurusan kes manakala pendengaran dan permohonan rayuan ditetapkan pada 9 Julai depan.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, empat tahun lalu.

Bagi kesalahan pertama, iaitu mengabaikan Bella, dia dihukum penjara 10 tahun, sementara kes kedua, menganiaya, sebanyak 12 tahun.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh hukuman itu.

Tertuduh turut diperintah menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin termasuk cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.

Dia juga perlu melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara dengan syarat-syarat yang dikenakan.

Pada 23 Mei tahun sama, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan, selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.






#Mahkamah Rayuan #Siti Bainun Ahd Razali #rumah bonda #Bella #Zayn Rayyan