[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
MALAYSIA

Kes buli di sekolah meningkat - KPN

Sinar Harian 14/10/2025 | 07:16 MYT
Mohd Khalid (tiga, kiri) ketika merasmikan Program Kempen Antibuli di Kuala Lumpur pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan kes buli di sekolah meningkat apabila sebanyak 7,681 kes dilaporkan pada tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Statistik SSDM KPM menunjukkan peningkatan kes buli di sekolah dengan 7,681 kes dilaporkan pada 2024 berbanding 6,528 kes pada 2023 dan 3,883 kes pada 2022.
  • Ketua Polis Negara menyatakan PDRM komited membanteras buli melalui pindaan undang-undang, pengukuhan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah dan galakan pelaporan insiden melalui saluran rasmi seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
  • PDRM menyeru ibu bapa, guru dan masyarakat agar peka terhadap tanda-tanda buli serta menyemai nilai empati dan keadilan bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan harmoni.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, statistik SSDM KPM telah merekodkan sebanyak 3,883 kes buli pada 2022 dan meningkat sebanyak 6,528 kes pada 2023.

"Melihat kepada situasi ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited menyokong semua usaha kerajaan untuk mencegah dan membanteras kegiatan buli khususnya di sekolah-sekolah bagi memastikan institusi pendidikan di negara ini kekal selamat dan bebas daripada salah laku pelajar.

"Mangsa buli mengalami kesan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku bagi tempoh masa yang agak panjang. Selain kecederaan, mangsa mengalami trauma sehingga boleh menjejaskan prestasi akademik," katanya dalam ucapan perasmian Program Kempen Antibuli di sini pada Selasa.

Mohd Khalid berkata, sejak kebelakangan ini, kes buli dalam kalangan pelajar semakin meningkat sehingga turut menyebabkan kematian mangsa.

"Berdasarkan statistik PDRM sehingga 12 Oktober 2025, sejumlah 129 kes buli telah dilaporkan sejak Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 dikuatkuasakan.

"Pindaan ini dibuat bagi menangani buli secara lebih efektif dan menyeluruh," katanya.

Tambahnya, PDRM turut menyeru ibu bapa, guru, rakan sebaya dan masyarakat agar memainkan peranan masing-masing dalam menyemai nilai belas kasihan, empati dan keadilan dalam kalangan generasi muda.

"Sebagai langkah berterusan, PDRM memperkukuh peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) melalui penganjuran kempen penerangan, sesi dialog serta penglibatan komuniti sekolah bagi meningkatkan kesedaran terhadap bahaya buli.

"Murid-murid juga disaran supaya berani melaporkan sebarang insiden buli melalui guru, ibu bapa atau saluran rasmi seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP) tanpa rasa takut, kerana PDRM sentiasa bersedia memberi bantuan dan perlindungan," katanya.

Menurutnya, ibu bapa diingatkan agar peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak, manakala guru disaran mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat dan kondusif dengan memantau serta mengambil tindakan segera terhadap murid yang menunjukkan tanda menjadi mangsa atau pelaku buli.

"PDRM berharap pelaksanaan Kempen Antibuli ini dapat mencapai matlamat untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan bebas daripada buli, sekali gus melahirkan generasi pelajar yang berakhlak mulia serta berdisiplin tinggi," ujarnya. - Sinar Harian






#kes buli sekolah #Ketua Polis Negara #pelajar ditikam #Menteri Pendidikan Malaysia