Kes bunuh CEO Cradle Fund: Polis siasat dakwaan tertuduh dicabul dalam tahanan - KPN

Astro Awani
Mac 12, 2019 07:52 MYT
Muhammad Fuzi memebri jaminan akan membuat siasatan terperinci berhubung dakwaan tertuduh tentang dicabul oleh tahanan lain. - Gambar hiasan
Polis akan menyiasat dakwaan remaja lelaki yang dituduh dalam kes bunuh bekas ketua pegawai operasi Cradle Fund Sdn Bhd didera secara fizikal dan seksual ketika dalam tahanan di Sentul, ibu negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata perkara seperti dakwaan berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan beliau memberi jaminan siasatan terperinci akan dilakukan.
"Sekiranya ada dakwaan sedemikian, mestilah kita akan jalankan siasatan dan tidak sepatutnya dakwaan itu dibuat, saya akan berhubung dengan pihak tertentu tentang perkara itu," kata Mohamad Fuzi.
Mohamad Fuzi berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, pada Selasa.
BACA: Isteri, dua remaja mengaku tidak bersalah bunuh CEO Cradle Fund
BACA: Kematian CEO Cradle sebab kecederaan berganda di kepala?
Pagi tadi, peguam mewakili remaja yang berdepan tuduhan membunuh Nazrin Hassan mendakwa anak guamnya mengalami serangan seksual dan fizikal ketika dalam tahanan.
Hisyam Teh, yang mewakili remaja berusia 16 tahun dan adiknya berumur 13 tahun memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Abd Karim Abd Rahman bahawa remaja itu mendakwa dia dicabul rakan tahanan di pusat tahanan di Sentul, Kuala Lumpur.
Permohonan jaminan mereka telah difailkan dan sementara itu mahkamah diminta mengeluarkan perintah supaya dihantar ke pusat tahanan lain.
Katanya, remaja itu sedia beri keterangan mengenai dakwaan serangan tersebut.
#cabul #cradle fund #IPD Sentul #Ketua Polis Negara #Mohamad Fuzi Harun #Nazrin Hassan #PDRM #Polis Diraja Malaysia #serangan #siasatan #Tahanan