Seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, yang ditemui mati di sebuah kondominium di Cyberjaya pada Rabu.

Perintah reman berkuatkuasa hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret A.Akhiruddin@Boy Acho selepas mendengar permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Sepang.

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BACA: Kewujudan rumah sewa Ketua Jururawat Siti Kharina tidak dimaklumkan awal - Polis

Warga Nigeria berumur 30-an itu ditahan pasukan polis ketika berada di tingkat bawah Cheras Sentral, Kuala Lumpur, semalam.

Dia ditahan susulan tangkapan ke atas wanita Nigeria dan lelaki warga Pakistan semalam di satu lokasi di Cheras dan Setapak di mana kedua-duanya telah direman tujuh hari bermula semalam berhubung kes yang sama.

Warga Nigeria berumur 30-an itu ditahan pasukan polis ketika berada di tingkat bawah Cheras Sentral, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Siti Kharina,40, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemui pemilik rumah kondominium yang disewanya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

-- BERNAMA