MALAYSIA

Kes bunuh Kevin Morais: Keputusan rayuan akhir enam individu diketahui esok

Bernama 30/06/2025 | 05:01 MYT
Morais kali terakhir dilihat pada 4 Sept 2015, dan mayatnya ditemukan 12 hari kemudian dalam tong dram berisi konkrit di Subang Jaya. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan esok terhadap rayuan akhir enam individu yang disabitkan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Persekutuan akan umum keputusan akhir esok terhadap rayuan enam individu yang disabitkan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015, selepas keputusan ditangguh sejak Mei lalu.
  • Kesemua tertuduh termasuk bekas pakar patologi, pemberi pinjaman wang dan empat penganggur dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2020, dan rayuan mereka sebelum ini ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
  • Morais kali terakhir dilihat pada 4 Sept 2015, dan mayatnya ditemukan 12 hari kemudian dalam tong dram berisi konkrit di Subang Jaya, satu kes pembunuhan berprofil tinggi yang menarik perhatian nasional.

Keputusan berkenaan akan disampaikan panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimum Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang.
Panel berkenaan telah menangguhkan keputusan mereka pada 14 Mei lepas setelah mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Seorang daripada peguam mewakili bekas pakar patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran, Jasmine Cheong telah memberitahu Bernama bahawa mahkamah telah memaklumkan tarikh keputusan berkenaan pada pagi ini.
Kunaseegaran, 62, pemberi pinjaman wang S Ravi Chandran, 54 dan empat penganggur iaitu R Dinishwaran, 33, A K Thinesh Kumar, 32, M Vishwanath, 35, dan S Nimalan, 32 didapati bersalah atas pembunuhan Morais dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.
Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka pada 14 Mac tahun lepas dan mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.
Pembunuhan berlaku di satu lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015.
Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Mayat Morais ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 Sept tahun yang sama.
-- BERNAMA
#bunuh Kevin Morais #rayuan akhir #Mahkamah Persekutuan #hukuman mati #terkini