MALAYSIA

Kes bunuh penuntut di Cyberjaya: Nasib empat suspek diketahui dalam masa terdekat

Umavathi Ramayah 08/07/2025 | 12:24 MYT
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan bahawa kertas siasatan berhubung kes itu diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa. - Gambar fail/BERNAMA
SEPANG: Nasib empat individu yang ditahan berhubung kes pembunuhan seorang penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya, Maniishapriet Kaur, dijangka diketahui dalam masa terdekat sama ada kesemua mereka akan didakwa atau hanya sebahagian sahaja.


Ringkasan AI
  • Polis telah menyerahkan kertas siasatan kes pembunuhan pelajar Maniishapriet Kaur kepada Timbalan Pendakwa Raya dan menunggu arahan selanjutnya.
  • Empat suspek, termasuk teman lelaki rakan serumah mangsa, masih direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Mangsa ditemui mati di bilik asrama pada 24 Jun, dan laporan patologi mengesahkan tiada kesan rogol.


Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan bahawa kertas siasatan berhubung kes itu diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa.

"Kita sedang menunggu arahan daripada pihak pendakwaan bagi tindakan lanjut," katanya di sini, pada Selasa.

Kesemua suspek kini disambung reman sehingga Khamis dan Jumaat bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan.

Tiga individu termasuk suspek utama berusia antara 19 hingga 20 tahun, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, ditahan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima pada 24 Jun lalu.

Mereka ditangkap dalam serbuan berasingan di Johor Bahru, Johor, dan Gemencheh, Negeri Sembilan masing-masing pada 25 dan 26 Jun lalu, manakala seorang lagi ditahan keesokan harinya.

Media sebelum ini melaporkan, Maniishapriet, 20, yang berasal dari Kuching, Sarawak, ditemukan mati di dalam bilik asramanya pada jam 10.28 pagi, 24 Jun lalu.

Difahamkan, mangsa tinggal bersendirian di bilik asrama berkenaan selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.

Mendiang dijadualkan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat sebelum kejadian.

Susulan itu, polis menahan empat individu termasuk suspek utama yang dipercayai teman lelaki kepada rakan serumah mendiang.

Polis sebelum ini juga mengesahkan laporan patologi mendapati tiada sebarang kesan rogol.




#Maniishapriet Kaur #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #penuntut dibunuh #bunuh