MALAYSIA

Kes bunuh penuntut: Suspek utama, rakan serumah didakwa esok - Polis

Umavathi Ramayah 09/07/2025 | 09:24 MYT
Tiga individu termasuk suspek utama berusia antara 19 hingga 20 tahun, terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, ditahan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima. - Gambar fail
SEPANG: Suspek utama dan teman wanitanya yang juga merupakan rakan serumah kepada mangsa, Maniishapriet Kaur akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, esok atas pertuduhan membunuh penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya itu.


Ringkasan AI
  • Suspek utama dan teman wanitanya yang juga rakan serumah mangsa akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan membunuh Maniishapriet Kaur, penuntut universiti swasta di Cyberjaya, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Empat individu ditahan dalam tempoh 48 jam selepas penemuan mayat mangsa pada 24 Jun; dua suspek telah dibebaskan, manakala dua lagi akan didakwa pada Khamis.
  • Mangsa ditemui mati di bilik asrama dengan kecederaan, dipercayai tinggal bersendirian ketika kejadian; laporan patologi mengesahkan tiada unsur rogol.


Kedua-dua suspek yang berusia 20-an itu dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang, dekat sini pada pukul 9 pagi, Khamis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek utama akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala teman wanitanya mengikut Seksyen 109/302 kanun sama kerana bersubahat membunuh.

“Selepas siasatan lengkap, kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor pada Selasa dan hari ini kita terima arahan untuk mendakwa kedua-dua suspek.

“Dua lagi suspek wanita yang ditahan sebelum ini dibebaskan, termasuk seorang dibebaskan kira-kira jam 8.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.

Dua suspek dibebaskan dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan.

Tiga individu termasuk suspek utama sebelum ini ditahan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima pada 24 Jun lalu.

Mereka ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Johor Bahru, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan masing-masing pada 25 dan 26 Jun, manakala seorang lagi suspek ditahan keesokan harinya.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang berusia 20 tahun dan berasal dari Kuching, Sarawak, ditemukan meninggal dunia dalam bilik asramanya di Cyberjaya pada jam 10.28 pagi, 24 Jun lalu.

Mangsa dioercayai tinggal bersendirian selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.

Difahamkan, mendiang dijadualkan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat sebelum insiden itu berlaku.

Polis sebelum ini juga mengesahkan laporan patologi mendapati tiada sebarang kesan rogol.




#Maniishapriet Kaur #kes bunuh #penuntut Cyberjaya #didakwa esok #terkini