MALAYSIA

Kes bunuh Puchong: 6 rakan serumah dibebaskan dengan jaminan polis

Sinar Harian 11/11/2025 | 05:39 MYT
Pada 6 Nov lalu, seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibunuh di tangga sebuah rumah kedai di Puchong Jaya. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Enam individu yang ditahan sebelum ini berkaitan kes seorang lelaki pemastautin ditemui mati disyaki dibunuh di tangga sebuah rumah kedai di kawasan Pusat Bandar Puchong, Khamis lalu dibebaskan dengan jaminan polis.


Ringkasan AI
  • Enam individu yang sebelum ini ditahan berkaitan kes lelaki ditemui mati di Pusat Bandar Puchong dibebaskan dengan jaminan polis; individu tersebut merupakan rakan serumah suspek utama.
  • Ketua Polis Selangor menyatakan keterangan yang diperoleh selepas tangkapan tidak membantu siasatan; motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
  • Polis terus mengesan suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kes itu, sementara usaha giat dan semakan CCTV turut dijalankan bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua individu yang ditahan sebelum ini merupakan rakan serumah suspek utama.

"Kesemua individu itu dibebaskan selepas rakaman keterangan selesai dijalankan.

"Setakat ini, keterangan yang diperoleh susulan tangkapan dijalankan tidak membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

"Polis masih mengesan suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki pemastautin tetap berusia 49 tahun ditemui mati disyaki dibunuh di lokasi berkenaan sebelum polis kemudiannya menahan enam lelaki warga India bagi membantu siasatan.

Susulan itu, usaha giat dijalankan bagi memburu suspek utama yang juga seorang lelaki warga India.

Selain itu, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi turut dijalankan dan didapati terdapat rakaman yang boleh membantu siasatan. - Sinar Harian







#mayat di tangga rumah kedai #Puchong #kes bunuh #rakan serumah