Kes bunuh wanita dibungkus selimut: Lelaki disambung reman enam hari

Bernama
September 22, 2019 00:17 MYT
Pada 11 Sept lalu, mayat seorang wanita ditemui berbungkus dalam selimut yang diletakkan dalam timbunan bantal di sebuah pangsapuri di Prima Damansara. - Gambar fail
Seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui berbungkus dalam selimut di sebuah pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya, 11 Sept lalu, disambung reman enam hari lagi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata suspek disambung reman mulai hari ini (22 Sept) sehingga Jumaat (27 Sept) bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Suspek disambung reman mulai esok hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, suspek direman seminggu dan tamat reman pada Sabtu.
BACA: Kes mayat wanita dalam selimut, bekas suami ditahan
Pada Ahad lepas, polis menahan lelaki berumur 40 tahun itu pada kira-kira 1.30 pagi selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan.
Sebelum ini, seorang wanita ditemui berbungkus dalam selimut yang diletakkan dalam timbunan bantal di pangsapuri berkenaan pada 11 Sept lepas.
Hasil bedah siasat polis mendapati wanita itu dipercayai mati akibat sesak nafas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-- BERNAMA
#bungkus dalam selimut #bunuh #mayat #Mohd Zani Che Din #pangsapuri #Petaling Jaya #polis #reman #siasatan #suspek #wanita