KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini tidak menerima perkembangan terbaharu berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang ditemukan mati pada 6 Disember lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin menegaskan pihaknya tidak pernah menghentikan siasatan ke atas kes berkenaan.

"Setakat ini pihak polis masih meneruskan siasatan, kita tidak pernah menghentikan siasatan ke atas kes ini.

"Siasatan masih diteruskan, kalau ada sebarang perkembangan baharu yang boleh dikongsi, akan dikongsi kelak. Setakat ini tiada perkembangan terbaharu," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikia ketika ditanya berhubung petunjuk baharu siasatan kes tersebut yang kini memasuki tempoh sebulan sejak penemuan mayat kanak-kanak itu.

Memetik laporan media semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis menerima maklumat secara umum daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Katanya lagi, polis masih menjalankan siasatan lanjut melibatkan kes bunuh kanak-kanak itu, dan berusaha mencari petunjuk baharu.

Pada 23 Disember lalu, media melaporkan, polis meminta bantuan Interpol bagi membantu siasatan kes Zayn Rayyan yang dipercayai dibunuh selepas ditemukan dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran Blok R, Apartment Idaman.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata polis tidak akan mengekstradisi raja dadah warga Malaysia yang diberkas di Laos pada 29 Disember lalu.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa Thailand.

"Biarlah dia menghadapi pertuduhan di Thailand atas aktiviti dadah. Jika Thailand mempunyai cukup bukti, biar mereka ambil tindakan," ujar beliau.