Kes bunuh Zayn Rayyan: Usaha cari bukti belum temui petunjuk baharu

Sinar Harian
Disember 17, 2023 07:18 MYT
Anggota Unit Forensik PDRM dilihat masih melakukan siasatan di sekitar kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini pada Ahad. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Usaha mencari petunjuk dan bukti baharu melibatkan kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin masih lagi diteruskan di lokasi Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini pada Ahad.
Tinjauan dijalankan mendapati beberapa anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia(PDRM) tiba di sekitar lokasi berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.
Tumpuan siasatan dilihat dijalankan melibatkan Blok R yang merupakan kediaman mangsa serta lokasi terakhir mangsa didakwa dilihat sebelum dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu.
Petugas media yang berkampung sejak hari pertama misi pencarian bukti kematian mangsa, difahamkan tugas mencari bukti baharu masih dijalankan sehingga kini.
Pada Sabtu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 172 individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan terbabit.
"Keseluruhan individu yang telah dirakam keterangan melibatkan ibu bapa mangsa, saksi, jiran dan penduduk sekitar.
"Usaha mengesan bukti dan pelbagai petunjuk masih dijalankan terutamanya melibatkan kawasan blok kediaman mangsa," katanya.
Pada 6 Disember lalu, mangsa berumur enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai kira-kira jam 10 malam.
Mangsa, Zayn Rayyan Abdul Matiin dipercayai dibunuh itu ditemui oleh kumpulan pihak berkuasa dan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#kes bunuh Zayn Rayyan #bukti baharu #Apartmen Idaman #forensik PDRM