Kes bunuh Zulfarhan: 18 diarah bela diri, seorang dibebaskan

Madiha Abdullah
Julai 31, 2019 03:05 MYT
Ahli keluarga Zulfarhan Osman, termasuk ibu bapanya, berharap dengan keputusan mahkamah hari ini, kematian penuntut UPNM itu akan terbela. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan 18 daripada 19 tertuduh dalam kes kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, untuk membela diri.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Azman Abdullah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir sesi pendakwaan.
Seorang lagi tertuduh, Mohamad Akmal Akif Alias, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Zulfarhan.
Pertuduhan terhadap enam tertuduh dibuat di bawah Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Baki 12 yang lain pula akan dibicarakan di bawah Seksyen 330 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kesemua mereka didakwa terbabit dalam membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, bapa Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros berkata: "Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kematian arwah terbela."
BACA: Nasib 19 penuntut UPNM diketahui hari ini
Terdahulu, beliau melakukan sujud syukur di luar kamar selepas hakim membuat keputusan.
Pada masa sama, Mohamad Akmal yang disambut ahli keluarganya di luar mahkamah tidak dapat menahan sebak apabila dilepaskan dan dibebaskan.
Hakim menetapkan tarikh bicara bela diri akan bermula 2 Oktober ini.
#bapa #bela diri #bunuh #Kuala Lumpur #mahkamah #mati #Mohamad Akmal Akif Alias #penuntut #sujud syukur #UPNM #Zulfarhan Osman Zulkarnain