PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 21 Sept untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak dan anak lelakinya Datuk Nazifuddin untuk mendapatkan perintah menggantung pelaksanaan penghakiman terus yang diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kes cukai tertunggak berjumlah lebih RM1.7 bilion dihadapi mereka sementara menunggu pelupusan rayuan.

Peguam Wee Yeong Kang, ketika dihubungi mengesahkan bahawa tarikh pendengaran itu ditetapkan dalam prosiding pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron.

Wee, yang mewakili Najib dan Nazifuddin, hadir pada prosiding itu manakala LHDN diwakili peguam hasil Ainur Mardhiah Ramli.

Pada 10 Mei lepas, Najib dan Nazifuddin diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus itu bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan memberi kebenaran kepada Najib serta Nazifuddin untuk merayu berkaitan sembilan persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada September tahun lepas bagi mengetepikan penghakiman terus itu.

-- BERNAMA