Kes culik ejen kosmetik: "Beri ruang, kami sudah lalui pengalaman yang teruk" - Adik

Wanna Abd Rahim
Oktober 3, 2022 13:04 MYT
Azie yang dilarikan kumpulan penjenayah pada 13 September lalu dihantar pulang ke rumah keluarganya di Kota Bharu sekitar jam 2.50 petang tadi. - Gambar/ Bernama
KOTA BHARU: "Beri ruang untuk kami bersama dalam penyatuan keluarga yang cukup bermakna ini," kata Mohammad Mohd Naim, 25.
Adik kepada Rosnazirah atau dikenali sebagai Azie, 36, ejen jualan kosmetik yang diselamatkan selepas diculik sebelum ini, berkata kakak dan keluarganya telah melalui pengalaman yang amat teruk.
"Kami masih belum bersedia untuk menerima sebarang temu bual daripada media atau sesiapa sahaja.
"Keluarga kami cukup tertekan sejak beberapa minggu lalu. Malah ada beberapa pihak termasuk media bertindak keterlaluan sedangkan kami sudah memberi peringatan untuk tidak mahu diganggu selagi Azie belum pulang.
"Saya harap selepas ini kejadian seperti ini tidak berulang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ejen kosmetik mangsa culik selamat pulang ke rumahnya
BACA: Ejen kosmetik mangsa culik selamat kembali ke rumah
Mengulas lanjut, Mohammad berkata, Azie ingin berehat dan tidak mahu menemui media untuk ditemu bual mengenai apa yang dilaluinya ketika diculik.
Azie yang dilarikan kumpulan penjenayah pada 13 September lalu dihantar pulang ke rumah keluarganya di Kota Bharu sekitar jam 2.50 petang tadi.
Dia diiringi oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Muhamad Zaki dilapor berkata, orang ramai dan kenalan dinasihatkan supaya tidak mengganggu mangsa buat sementara waktu bagi memberi ruang buat keluarga tersebut.
Katanya, usaha keras Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Polis Kelantan dan Polis Thailand telah berjaya membawa pulang mangsa dalam keadaan selamat tanpa melibatkan sebarang pembayaran wang tebusan.
#kes culik #ejen kosmetik #beri ruang #adik mangsa