BUTTERWORTH: Seorang peniaga menarik nafas legas apabila terlepas hukuman mati selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah, enam tahun lalu.

Tertuduh Lim Chon Kuang, 31 tahun, yang gembira dengan keputusan mahkamah sempat berterima kasih kepada peguamnya, K Mahendran sebaik keputusan pendakwaan dibacakan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 29 Nov 2018 jam 9 pagi bertempat di hadapan syarikat SY Online Venture Sdn Bhd, Simpang Ampat, Seberang Prai Selatan berdepan tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis monoacetylmorphines seberat 185.71 gram.

Dengan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail sebelum ini memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan ketika perbicaraan berlangsung.

Bagaimanapun, Fathiyah ketika membuat keputusan memberitahu pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie menyebabkan mahkamah membebaskan tertuduh.

Sementara itu, Mahendran ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan tetapi keterangan saksi keempat meragukan serta tidak kukuh menyebabkan anak guamnya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah.

Selain itu ujarnya, tiada keterangan sokongan untuk mengaitkan barang atau dadah yang ditemui atas meja dengan tertuduh.