KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya akan diketahui esok.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Faiz Dziyauddin dijadual memberikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 2 petang.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Muhammad Yasin, 48, maka dia akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya, selebriti itu akan dilepas dan dibebaskan.

Pada 15 Sept lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil tujuh saksi semasa perbicaraan kes itu yang bermula pada 28 Ogos lepas.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah ahli kimia Dr J. Saravanan Kumar, pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz, pegawai sains (kimia hayat) di Jabatan Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang Rusli Ibrahim, pakar bioteknologi tumbuhan Prof Dr S. Sreeramanan dan Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Inspektor Darwis Aripin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein, mewakili Muhammad Yasin.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA