IPOH: Kes demam denggi di Perak menunjukkan penurunan sebanyak 83.5 peratus atau 916 kes iaitu hanya 181 jumlah kumulatif kes dan tiada kematian setakat 10 April lepas berbanding 1,097 kes dengan satu kematian pada tempoh sama tahun lepas.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebooknya memaklumkan bagi tempoh enam hari bermula 4 April hingga Sabtu lepas, sebanyak 14 kes demam denggi yang dilaporkan di negeri ini manakala demam chikungunya pula sebanyak 12 kes.

Menurut kenyataan itu, kes demam chikungunya juga menunjukkan penurunan sebanyak 68.7 peratus atau 230 kes iaitu hanya 105 kes dilaporkan berbanding 335 kes pada tempoh sama tahun lepas.

"Kejadian kes demam denggi dan demam chikungunya dijangka meningkat semasa musim perayaan yang bakal menjelang.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan penularan penyakit-penyakit ini dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan persekitaran bebas daripada pembiakan nyamuk aedes," menurut kenyataan itu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes serta mengamalkan kaedah perlindungan diri daripada gigitan nyamuk dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala penyakit ini.

Orang ramai boleh melayari laman web http://jknperak.moh.gov.my/v4/index.php/my atau https://idengue.mysa.gov.my/ atau https://www.infosihat.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut.

-- BERNAMA