IPOH: Kes demam denggi mencatatkan peningkatan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), yang didorong dengan musim hujan berterusan sejak awal bulan Mei lalu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sehingga 23 Julai (Minggu Epidiologi 29), sebanyak 270 kes denggi telah dilaporkan di sekitar bandar raya Ipoh.

Rumaizi berkata, peningkatan itu sebanyak 150 peratus berbanding dengan 108 kes denggi bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Tindakan bersepadu dalam usaha membasmi denggi oleh semua pihak telah dapat mengawal bilangan kejadian lokaliti wabak di kawasan MBI.

"Bilangan lokaliti yang berwabak pada 28 Julai hanya dua iaitu di Taman Arkid dengan tiga kes dijangka tamat pada 28 Julai, dan Taman Pakatan Jaya dengan tiga kes dijangka tamat pada 3 Ogos.

"Tiada lokaliti hotspot atau wabak tidak terkawal dilaporkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBI bulan Julai di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, pihak Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan surat tawaran kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia untuk melaksanakan Kempen Kesihatan Persekitaran Tahun 2022 di Kawasan PBT pada bulan Mac 2022.

Jelasnya, kempen membasmi wabak dan hotspot denggi adalah salah satu program yang dipilih oleh pihak Bahagian Kerajaan Tempatan, SUK Perak untuk dilaksanakan oleh MBI.

"Pihak Majlis telah mencalonkan lokaliti RPT Batu 8, Ulu Kinta untuk melaksanakan Kempen Membasmi Wabak dan Hotspot Denggi.

"Pemilihan lokaliti RPT Batu 8 adalah berdasarkan data yang dibekalkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kinta di mana lokaliti itu telah diisyhtiharkan lokaliti Wabak Terkawal.

"Kemudiannya disytiharkan lokaliti hotspot dengan tarikh tamat 15 Jun lalu. Sehingga 1 Jun lalu sebanyak sembilan kes demam denggi telah dilaporkan di lokaliti RPT Batu 8 Ulu Kinta," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap aktiviti pencegahan dan kawalan untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk ini akan dilaksanakan secara berterusan.

Ia penting bagi memastikan kepadatan (densiti) nyamuk aedes berada pada tahap seminimum yang boleh pada setiap masa.

Tambahnya musim hujan yang berterusan di daerah Kinta boleh meningkatkan densiti (bilangan nyamuk).