NATIONAL

Kes digigit anjing di Baling: Pemilik setuju lupus dua anjing Rottweiler

Bernama 02/04/2025 | 13:30 MYT
Yazlan Sunardie berkata, persetujuan itu dicapai susulan pertemuan antara pemilik anjing berkenaan dengan pihak berkuasa berkaitan, hari ini. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Pemilik dua anjing jenis Rottweiler yang menyerang dan menggigit lima individu dalam kejadian di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, semalam, bersetuju untuk melupuskan haiwan peliharaannya dengan kaedah ditidurkan.

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahya, berkata persetujuan itu dicapai susulan pertemuan antara pemilik anjing berkenaan dengan pihak berkuasa berkaitan, hari ini.

"Kedua-dua anjing itu diserahkan kepada Pejabat Veterinar Baling untuk dilupuskan secara ditidurkan mengikut prosedur," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, katanya, Majlis Daerah Baling telah mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik anjing berkenaan atas kesalahan membela anjing tanpa lesen.

Semalam, Bernama melaporkan lima individu cedera selepas digigit dua anjing berkenaan yang terlepas daripada sangkar dalam kejadian di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil.

Kesemua mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

-- BERNAMA


#Rottweiler #kompaun #pemilik anjing #rawatan