TENOM: Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu gambar tangkap layar daripada telefon bimbit pengadu wanita dalam kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, mempunyai tarikh ubah suai yang sama dengan tarikh laporan polis dibuat iaitu 7 Ogos 2021.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia Latifah Abdul Aziz berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Ram Singh, yang mewakili Ebit Lew, pada perbicaraan kes pendakwah itu di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Latifah, 43, juga bersetuju dengan cadangan Ram Singh bahawa laporan analisis menunjukkan gambar tangkap layar itu wujud dalam telefon bimbit pengadu pada tarikh ubah suai tersebut.

Beliau berkata daripada 436 gambar tangkap layar itu juga, terdapat beberapa imej tidak mempunyai unsur seksual dan secara tidak sengaja dipilih semasa dikeluarkan daripada telefon bimbit yang dianalisis.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ketujuh itu berkata beliau telah menyerahkan gambar tangkap layar itu kepada pegawai penyiasat jika diperlukan dan bagi menentukan sama ada ia penting atau sebaliknya.

Latifah juga bersetuju dengan cadangan Ram Singh bahawa gambar itu mungkin telah dikacau ganggu.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada 26 hingga 29 Sept depan.

-- BERNAMA