[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Kes ganja: Reman pelawak dilanjut empat hari, rujuk pejabat pendakwaan

Umavathi Ramayah 19/12/2024 | 02:40 MYT
Norhizam berkata, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kes selebriti lelaki disyaki miliki ganja itu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. - Foto IPD Sepang
SEPANG: Polis mendapat perintah lanjutan reman selama empat hari lagi bermula hari ini ke atas seorang selebriti lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, Sabtu lalu.
Lanjutan sehingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya memohon lanjutan selepas tempoh reman yang dikeluarkan pada Ahad lalu ke atas lelaki berusia 41 tahun itu, berakhir hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya juga akan merujuk kertas siasatan kepada pejabat pendakwaan untuk tindakan lanjut.
"Suspek disambung reman empat hari lagi. Kes akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan suspek yang juga pelawak ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang kira-kira 3.10 petang pada Sabtu.
Hasil pemeriksaan lanjut di rumah tersebut polis menemukan dua peket plastik lut sinar yang tiap satunya mengandungi leraian dedaun kering disyaki dadah jenis ganja.
Anggaran berat keseluruhan dadah disyaki ganja yang dirampas ialah 60.3 gram.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan, yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berdasarkan siasatan awal, polis percaya suspek terlibat dalam penagihan sejak lapan tahun lalu.
#Dadah #rekod jenayah lampau #ujian saringan #pelawak