KUALA LUMPUR : Penularan wabak COVID-19 di Malaysia sedang menuju ke arah pemulihan apabila pelbagai petanda positif semakin kelihatan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, indikator tersebut boleh dilihat menerusi aspek purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital.

Menurut Dr Noor Hisham, senario itu juga memberi bayangan bahawa negara bakal bersedia untuk memasuki fasa endemik.

Kata beliau, secara keseluruhannya, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati trend menurun sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 bagi indikator utama seperti kes harian, kes aktif, kematian, kes ICU dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Terdapat sebanyak 63,722 kes COVID-19 yang telah dilaporkan berbanding 83,368 kes yang dilaporkan pada ME ke-39 penurunan sebanyak 23.6 peratus.

“Penurunan ini juga telah berlaku secara konsisten sejak enam minggu kebelakangan (ME ke-34),” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kadar kes kematian juga menunjukkan penurunan berbanding minggu-minggu sebelum ini yang mencatatkan purata 100 kes sehari.

Perkara itu juga, jelas Dr Noor Hisham, memberikan kesan kepada penggunaan fasiliti hospital yang turut mencatatkan penurunan.

KKM dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu selesa dengan keadaan ini selain perlu peka dengan situasi jangkitan COVID-19.

“Kita wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa kenaikan kes COVID-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

“Semua pihak perlu memainkan peranan yang penting bagi bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia,” katanya lagi.