NATIONAL
Kes hasutan: Pendakwaan akan fail bantahan awal terhadap permohonan Muhyiddin

Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri pada 14 Ogos 2024. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.
Ringkasan AI
- Pihak pendakwaan akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.
- Peguam Muhyiddin telah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang tersebut di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, dan mahkamah menetapkan 29 April untuk pengurusan kes selanjutnya.
- Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri pada 14 Ogos 2024, dan didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.
"Untuk makluman mahkamah, pihak kami telah memfailkan afidavit sokongan dan kami juga akan memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong permohonan tersebut.
"Memandangkan notis permohonan itu masih belum dimeterai, kami memohon agar mahkamah ini menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya dan memohon agar kehadiran anak guam dikecualikan pada prosiding akan datang," katanya yang turut dibantu peguam Joshua Tay.
Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan 29 April ini untuk pengurusan kes selanjutnya dan membenarkan permohonan pembelaan agar kehadiran pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dikecualikan pada prosiding akan datang.
Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sini.
Muhyiddin, 77, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi, Nadia Mohd Izhar dan Abdul Malik Ayob.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami