Kes HFMD dan wabak jangkitan salur pernafasan di Johor meningkat

Muhammad Aiman Hakeem
Ogos 8, 2022 10:02 MYT
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 8,720 kes HFMD direkodkan sehingga 6 Ogos bagi tahun 2022. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kes kumulatif bagi penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), serta wabak jangkitan saluran pernafasan di negeri ini meningkat.
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 8,720 kes HFMD direkodkan sehingga 6 Ogos bagi tahun 2022.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 82.3 kali ganda berbanding hanya 106 kes yang dilaporkan pada tahun lalu bagi tempoh sama.
"Daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes HFMD tertinggi dengan 3,017 kes yang bersamaan 34.6 peratus dari keseluruhan kes.
"Peningkatan ini telah dijangka berlaku pada tahun ini ekoran kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan selari dengan peningkatan di Malaysia.
"Walau bagaimanapun, situasi ini masih terkawal," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.
Sementara itu, bagi jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-likeillness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI) di Johor turut mencatatkan peningkatan.
Menurut Tian Soon, sebanyak 1,531 kes wabak tersebut direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-31 bagi tahun ini, sejak 31 Julai hingga 6 Ogos.
Jelasnya, ia peningkatan sebanyak 2.7 kali ganda berbanding 574 kes pada tempoh ME yang sama pada tahun lalu.
"Bilangan kluster wabak salur pernafasan juga meningkat, dengan 18 kluster dilaporkan sehingga ME ke-31 tahun ini berbanding dengan lapan kluster pada tahun lalu bagi tempoh ME sama.
"Namun, tiada kluster baru yang dilaporkan manakala kebanyakan kluster melibatkan institusi pendidikan mewakili 77.8 peratus," tambahnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, penularan wabak HFMD dan kes jangkitan saluran pernafasan mempamerkan penurunan berbanding ME sebelumnya pada tahun ini.
Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk terus mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya.
"Antaranya, mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer.
"Amalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung.
"Orang awam turut dinasihatkan menjarakkan diri daripada individu yang bergejala, sekurang-kurangnya dalam jarak satu meter," katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga diminta mengelakkan diri mengunjungi tempat tumpuan jika bergejala selain mendapatkan suntikan vaksinasi influenza di fasiliti kesihatan.
"Jabatan Kesihaan Negeri Johor akan terus memantau situasi dan trend wabak HFMD dam kejadian ILI dan URTI di negeri ini," katanya lagi.
#HFMD #penyakit tangan kaki dan mulut #jangkitan saluran pernafasan #Johor #ILI #URTI