Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) adalah penyakit berjangkit yang lazimnya berlaku kepada kanak-kanak berusia bawah 10 tahun dan ia perlu diberikan rawatan pada kadar segera.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Rohani Jahis, penyakit HFMD jarang boleh menyebabkan kematian.

Namun, jika seseorang pesakit itu gagal diberi rawatan segera, komplikasi seperti jangkitan kuman pada otak seterusnya mengakibatkan kegagalan jantung untuk berfungsi boleh berlaku.

“Jangkitan HFMD khususnya jangkitan daripada virus Enterovirus-71 (EV71) boleh menyebabkan komplikasi pertama iaitu dehidrasi kerana kekurangan air dalam badan.

“Apabila kanak-kanak ada ulser dalam mulut, mereka tidak mahu makan kerana rasa sakit untuk menelan.

“Kedua jangkitan kuman ini boleh menyebabkan keradangan otak atau encephalitis yang juga boleh menyebabkan kegagalan jantung dan sistem pernafasan yang mana boleh membawa maut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.

Justeru, beliau menyarankan agar ibu bapa terus mengikuti rapat perkembangan anak-anak sekiranya mereka menunjukkan simptom HFMD seperti demam, ulser di dalam mulut dan hilang selera makan.

“Sekiranya anak-anak anda mengalami penyakit ini, dapatkan rawatan doktor dengan segera dan anda diingatkan untuk tidak menghantar anak-anak anda ke tempat awam seperti sekolah atau pusat pengasuh,” katanya.

BACA: Penguatkuasaan terhadap taska, tadika yang mempunyai kes HFMD

BACA: Elak hantar anak ke sekolah sekiranya ada tanda HFMD - Dr Sahruddin

Sebelum ini, sebanyak 27,296 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas, meningkat 28 peratus atau 21,303 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 50 peratus daripada laporan adalah daripada 341 buah taska, tadika, tabika dan pra-sekolah di seluruh negara.