BATU PAHAT: Bilangan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini menunjukkan penurunan bagi Minggu Epidemiologi (ME) 23 (Epid 23) (5 hingga 11 Jun) kepada 1,090 kes, iaitu penurunan sebanyak 401 kes, berbanding minggu sebelumnya iaitu 1,491 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata penurunan tersebut dipercayai berikutan cuti sekolah dan pihaknya akan terus memantau perkembangan kes penyakit berkenaan setiap minggu.

"Berkemungkinan penurunan kes HFMD ini adalah disebabkan pada minggu berkenaan (Epid 23) adalah waktu cuti sekolah iaitu kebanyakan kanak-kanak berada di rumah dan bukannya di pusat jagaan, tadika atau taska.

"(Bagaimanapun) semenjak kes HFMD dilaporkan di negeri ini, sebanyak 28 taska dan tadika telah diarah tutup sementara sehingga kes berkenaan terkawal dan untuk tujuan pembersihan," katanya kepada pemberita pada Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Johor 2022, di Taman Mewah, dekat sini.

Ling berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor bersama pejabat kesihatan daerah kini giat menjalankan kempen kesedaran di taska dan tadika di seluruh negeri berkaitan penyakit berkenaan.

Sementara itu, ketika mengulas berkaitan kes demam denggi di Johor, beliau berkata terdapat peningkatan sebanyak 22 kes pada Minggu Epid 23 iaitu kepada 99 kes berbanding 75 kes pada minggu sebelumnya.

Tambah beliau, program gotong-royong peringkat negeri itu merupakan salah satu usaha untuk mengurangkan kes denggi dan akan disusuli oleh program gotong-royong pada peringkat daerah.

-- BERNAMA