IPOH: Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyifatkan perkembangan kes Iki Putra Mubarak sebagai mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah.

Pengerusinya, Datuk Zamri Hashim berkata, perbicaraan kes yang disambung di Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos itu akan memberi kesan kepada pihak berkuasa negeri, jika keputusan berpihak kepada pencabar.

Menurutnya, situasi itu memberi maksud pihak berkuasa negeri tidak boleh menggubal undang-undang jenayah syariah seperti kesalahan berjudi, minum arak, dan berzina.

"Hanya kerana undang-undang berkaitan jenayah dikatakan sebagai kuasa Persekutuan.

"Maka undang-undang jenayah syariah yang sedang terpakai sekarang di setiap negeri adalah bersifat tidak berperlembagaan dan tidak terpakai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Timbalan Mufti Perak itu berpandangan bahawa perkara sama telah menyentuh kuasa sultan sebagai ketua agama negeri dan akan menyempitkan kuasa Mahkamah Syariah di setiap negeri.

Justeru katanya, MUIS mencadangkan agar Penasihat Undang-Undang negeri dan Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri dapat memberi gambaran tepat dan menyembah nasihat sewajarnya berkaitan isu ini kepada sultan-sultan.

"MUIS berkeyakinan Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Mohd Na'im Mokhtar yang juga mantan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sedar perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya demi kelangsungan undang-undang syariah negara.

"Semua umat Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam segera bersatu padu memperjuangkan keabsahan undang-undang jenayah syariah yang sedia terpakai di setiap negeri," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Iki Putra telah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.

Namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Kes beliau akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos ini bagi mencabar kesahihan enakmen jenayah syariah. - Sinar Harian