Kes influenza di Johor terkawal, tiada kluster baharu - Exco

Ling menerima simbolik replika sumbangan Mesin Echocardiogrphy daripada Pengarah Urusan Ikbal Salam & Associates Farrah Shida Mohammad pada Majlis Penyerahan Sumbangan Mesin Echocardiogrphy di HSI hari ini. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Kes jangkitan influenza di Johor masih terkawal dengan tiada kluster baharu direkodkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon.
Beliau berkata keseluruhannya sembilan kluster direkodkan termasuk yang membabitkan sebuah kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2, di sini baru-baru ini.
"Setakat ini, keadaan (jangkitan influenza) masih terkawal di Johor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Operasi Mega Selamat Paru-Paru di sini hari ini.
Ling berkata orang ramai khususnya pihak sekolah turut dinasihatkan agar segera membawa murid dan warga sekolah ke fasiliti kesihatan sekiranya mengesan simptom jangkitan.Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sentiasa aktif memantau keadaan semasa bagi memastikan penularan terkawal dengan tiada kluster baharu dilaporkan.
Ketika ditanya sama ada pemeriksaan kesihatan turut dilakukan di pintu sempadan bagi mengekang penularan, Ling berkata langkah itu merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) yang telah lama dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"KKM sentiasa membuat saringan termasuk mengambil suhu badan. Setakat ini tiada keperluan untuk mempertingkat kawalan dan apa-apa tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan arahan kementerian," katanya.
Pada Rabu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin dilaporkan berkata kelas PPKI di SK Taman Permas Jaya 2 ditutup selama 10 hari bermula 8 Okt susulan penularan kes influenza.
Ia susulan lima murid, seorang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) disahkan positif influenza A, manakala 15 murid lain di kelas sama turut menunjukkan gejala jangkitan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami