KUALA LUMPUR: Rentetan insiden keganasan dan kehilangan nyawa di kawasan sekolah mutakhir ini wajar menjadi 'red alarm' kepada negara agar tidak lagi memandang ringan krisis kesihatan mental generasi muda sebagai isu disiplin semata-mata.
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali menegaskan, situasi meruncing ini menuntut penilaian kritikal ke atas keseluruhan ekosistem psikologi anak-anak merangkumi institusi keluarga, sekolah, rakan sebaya, pemantauan dunia digital serta pengaruh masyarakat.
Beliau berkata dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun meningkat lebih dua kali ganda kepada 16.5 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2019, iaitu membabitkan nisbah satu daripada enam kanak-kanak.
"Data telah memberikan amaran. Kita perlu bertanya lebih jauh untuk memahami isu ini. Adakah ibu bapa mempunyai masa berkualiti untuk mendengar anak, atau adakah gaya didikan terlalu menghukum, terlalu permisif atau kurang sempadan?
"Adakah anak-anak kita belajar mengurus kemarahan, kekecewaan, penolakan dan konflik? Dan siapakah yang memantau dunia digital mereka?" katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Beliau berkata tahap tekanan ini turut dicerminkan menerusi data Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang merekodkan 55,169 penjawat awam berisiko tinggi, sekali gus membuktikan kesejahteraan psikologi perlu dijadikan agenda nasional rentas generasi.
Sehubungan itu, PSIMA menuntut pelaksanaan segera pendekatan 'seluruh masyarakat' (whole-of-society) menerusi pembentukan Infrastruktur Psikologi Nasional.
Rangka kerja tersebut berfungsi menghubungkan keluarga, sekolah, dan komuniti dengan sistem perkhidmatan kesihatan psikologi profesional secara langsung bagi melicinkan proses pengesanan awal, intervensi, rujukan, serta pemantauan berterusan tingkah laku berisiko.
"Jangan hanya bertindak selepas tragedi berlaku. Kejadian menyayat hati ini memperlihatkan betapa mahalnya harga yang perlu dibayar apabila tanda risiko tidak ditangani lebih awal.
"Ini bukan lagi masa untuk sekadar prihatin, tetapi ini adalah masa untuk bertindak," tegasnya.
Kenyataan berkenaan hadir menyusuli kebimbangan awam susulan tragedi kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, yang kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.