JOHOR BAHRU: Sebanyak 719 kes melibatkan jenayah komersial dengan jumlah kerugian mencecah RM33.88 juta direkodkan di Johor sejak Januari hingga Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata jumlah berkenaan meningkat berbanding 453 kes dengan kerugian RM17.74 juta dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata kes penipuan merupakan penyumbang tertinggi iaitu 651 kes atau 91 peratus daripada keseluruhan 719 kes itu.

"Sebanyak 664 daripada keseluruhan kes yang disiasat didapati berlaku secara dalam talian dengan mangsa tidak pernah bertemu dan tidak mengenali suspek.

"Kes terbabit antaranya melibatkan kes belian dalam talian, pelaburan, tawaran kerja, pinjaman wang dan penipuan panggilan telefon," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya terhadap sesuatu tawaran yang diterima menerusi media sosial serta membuat semakan dengan polis atau agensi berkaitan.

Sementara itu, Kumar dalam kenyataan sama berkata sebuah syarikat swasta kerugian sebanyak RM464,400 selepas e-mel perniagaan syarikat itu dipercayai diceroboh.

Menurut beliau polis menerima laporan berkaitan kejadian itu semalam daripada seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan eksekutif akaun syarikat berkenaan.

"Menurut pengadu, pada pertengahan bulan ini, pihaknya berurusan dengan pembekal menerusi e-mel syarikat bagi pembelian minyak sawit bernilai RM464,400.

"Pembayaran dibuat kepada satu akaun bank yang didakwa merupakan akaun bank kedua pembekal itu selepas diarahkan oleh pembekal tersebut. Namun, pengadu mula curiga dan menyemak e-mel pembekal sebelum mendapati terdapat perbezaan pada alamat e-mel pembekal sebenar mereka," katanya.

Kumar berkata wanita itu mendakwa turut menghubungi pembekal sebenar dan menafikan telah mengarahkan syarikat itu membuat pembayaran ke akaun terbabit serta tidak menerima sebarang wang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA