MALAYSIA

Kes jenayah komersial di Kelantan meningkat

Bernama 18/12/2025 | 06:32 MYT
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika sidang media selepas hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Kes jenayah komersial di Kelantan mencatatkan peningkatan ketara kepada 2,016 kes bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini berbanding 1,014 kes bagi tempoh sama tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Jenayah komersial di Kelantan meningkat kepada 2,016 kes dalam 11 bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.
  • Jumlah kerugian keseluruhan menurun kepada RM43.6 juta, menunjukkan keberkesanan langkah penguatkuasaan.
  • Penipuan e-dagang dan jenayah siber menunjukkan peningkatan yang membimbangkan, memerlukan tindakan pencegahan dan kesedaran awam yang lebih berkesan.


Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata bagaimanapun, jumlah kerugian keseluruhan bagi tempoh itu menurun daripada RM52.5 juta kepada RM43.6 juta.

Beliau berkata penurunan itu mencerminkan keberkesanan langkah penguatkuasaan, intervensi awal dan usaha kesedaran awam yang dilaksanakan dalam mengurangkan impak kewangan terhadap mangsa.

"Bagi pecahan kes, penipuan e-dagang mencatat peningkatan daripada 193 kes dengan kerugian RM1.68 juta kepada 519 kes melibatkan kerugian RM3.22 juta.

"Jenayah siber lain turut menunjukkan trend membimbangkan apabila meningkat daripada 224 kes dengan kerugian RM4.23 juta kepada 516 kes dengan kerugian RM8.47 juta," katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Disember di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata antara yang mencatat lonjakan paling tinggi ialah penipuan kerja sambilan dalam talian, iaitu daripada 74 kes dengan kerugian RM1.57 juta kepada 245 kes melibatkan kerugian RM7.52 juta.

Beliau berkata trend itu menggambarkan perubahan modus operandi yang semakin sofistikated dengan mengeksploitasi ruang digital serta kelemahan tahap kesedaran pengguna.

"Polis akan terus memperkukuh strategi pencegahan, memperhebat risikan, memperluas kerjasama antara agensi dan meningkatkan kesedaran awam bagi melindungi kesejahteraan ekonomi masyarakat," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata pihaknya terus memperkukuh usaha pencegahan ekstremisme dan keganasan menerusi pelaksanaan Projek Leveraging Educator Against Radical Narrative (LEARN).

Beliau berkata inisiatif itu menumpukan ceramah dan libat urus pada peringkat sekolah oleh pegawai perhubungan sekolah sebagai langkah pencegahan awal yang diperkukuh dengan penglibatan strategik termasuk Kementerian Pendidikan dan kerjasama E8 Cawangan Khas Bukit Aman.

"Kelantan tidak terkecuali daripada ancaman ekstremisme dan pengaruh pemikiran ganas melalui platform digital. Musuh hari ini bukan hanya bersenjata tetapi juga yang meracuni minda dengan hujah memesongkan dan naratif memecah-belahkan," katanya.

-- BERNAMA








#jenayah komersial #negeri Kelantan #Polis Kelantan #E-dagang #jenayah siber #Mohd Yusoff Mamat