MALAYSIA
Kes jenayah komersial di Negeri Sembilan meningkat, kerugian cecah RM47.74 juta

Muhammad Idzam berkata sebanyak 1,351 kes jenayah komersial direkodkan sepanjang tempoh itu, berbanding 1,033 kes pada tahun sebelumnya.
SEREMBAN: Kes jenayah komersial di Negeri Sembilan mencatat peningkatan dengan kerugian direkodkan berjumlah RM47.74 juta sejak Januari lepas hingga kini, berbanding RM33.84 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhammad Idzam Jaafar berkata sebanyak 1,351 kes jenayah komersial direkodkan sepanjang tempoh itu, berbanding 1,033 kes pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata trend jenayah terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 318 kes atau 30.8 peratus, manakala jumlah kerugian turut meningkat sebanyak RM13.9 juta atau 41.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Penipuan dalam talian mencatatkan 82 peratus kes berbanding jenayah komersial lain."Kes antaranya melibatkan penipuan telekomunikasi sebanyak 480 kes, penipuan pembelian dalam talian (248), pelaburan tidak wujud (208), pinjaman tidak wujud (151) dan love atau parcel scam (22)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata polis turut mengesan modus operandi terbaharu digunakan sindiket penipuan iaitu melibatkan kes penipuan phone scam dengan menyamar sebagai ejen kad Touch 'n Go dan pegawai polis.
Muhammad Idzam berkata ahli sindiket mendakwa kad Touch 'n Go mangsa telah disalah guna oleh pihak ketiga dan menyatakan mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram serta penyalahgunaan dadah.
"Sebagai penyelesaian, mangsa diminta memberikan maklumat berkaitan harta (wang dan barang kemas) seterusnya diminta memindahkan wang ke dalam akaun bank diberikan serta menyerahkan barang kemas kepada 'runner' untuk tujuan siasatan," katanya.
Beliau berkata hasil siasatan, polis berjaya mengesan dan merampas sejumlah barang kemas yang dipajak 'runner' berkenaan di kedai emas dan pajak gadai sekitar Selangor.
Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala pemilik kedai emas atau pajak gadai diingatkan supaya tidak menerima pajakan mana-mana individu dengan jumlah yang banyak dan meragukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami