MALAYSIA

Kes kematian pelatih Palapes: Penemuan baharu polis tidak selari laporan awal perubatan - Saifuddin

Asyraf Malik 02/12/2025 | 12:38 MYT
Polis akan melengkapkan siasatan kes kematian Syamsul Haris sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penemuan baharu hasil siasatan polis tidak selari dengan dapatan awal laporan perubatan kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

“Saya diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat bersama syor AGC tentang hala tuju siasatan.

"Ini kerana ada perbezaan dengan laporan perubatan awal yang menjadi asas kepada punca kematian dengan penemuan baharu siasatan oleh polis.

"Biar pihak polis selesaikan dengan menyerahkan kertas siasatan kepada AGC," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu ketika dirawat di Hospital Kota Tinggi, selepas mengikuti latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor.

Jenazahnya kemudian disemadikan pada keesokan hari di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada peringkat awal, kematian Syamsul Haris dikategorikan sebagai mati mengejut (SDR).

Namun pada 19 Ogos, ibu beliau, Ummu Haiman Bee Daulatgun, memohon agar kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan.

Mahkamah meluluskan permintaan tersebut dan proses bedah siasat kedua berlangsung pada penghujung Ogos.

Berikutan perkembangan itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan kes tersebut.

Pada minggu lalu, peguam keluarga memaklumkan bahawa bedah siasat kedua menemukan punca kematian berkaitan kecederaan pada bahagian leher, selain beberapa kecederaan lain termasuk kesan melecet yang dikesan pada tubuh Allahyarham ketika pemeriksaan dilakukan pada 30 Ogos.


#Syamsul Haris Shamsudin #Peguam Negara #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #membunuh