Skip to main content

Malaysia

Kes kencing tikus: Penutupan Taman Eko Rimba Ulu Bendul dilanjut hingga 23 Jun

Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah ditutup sementara hingga 24 Mei ini bagi semua jenis aktiviti untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat kes disyaki kencing tikus di kawasan itu.
Penutupan sepenuhnya Taman Eko Rimba Ulu Bendul di Kuala Pilah bagi semua jenis aktiviti disambung hingga 23 Jun untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat peningkatan kes kencing tikus di kawasan itu. - Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Penutupan sepenuhnya Taman Eko Rimba Ulu Bendul di Kuala Pilah bagi semua jenis aktiviti disambung hingga 23 Jun untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat peningkatan kes kencing tikus di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Mohd Yussainy Md Yusop berkata penutupan sepenuhnya itu bagi membolehkan pihak pengurusan menjalankan kerja sanitasi, pembersihan rapi, dan pemantauan kualiti air demi memastikan keselamatan pengunjung pada masa hadapan.

“Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah (PKD) menerima pertambahan tujuh kes kencing tikus disahkan positif pada 18 Mei melibatkan individu yang mempunyai sejarah mandi di kawasan berkenaan pada 10 Mei.

“Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif ialah 11 kes. Tempoh penutupan itu mengambil kira tempoh inkubasi daripada tarikh onset kes terakhir bergejala dengan tarikh onset terakhir direkodkan adalah pada 15 Mei,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Yussainy berkata sepanjang tempoh itu orang awam dilarang menceroboh masuk ke kawasan berkenaan dan kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan sedia ada.

Sebelum ini, taman rekreasi itu ditutup hingga 24 Mei bagi semua jenis aktiviti untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat kes kencing tikus di kawasan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement