SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Ogos bagi sebutan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Ampang yang membebaskan Datuk Seri Jamal Md Yunos daripada pertuduhan memuat naik video kenyataan jelik di laman Facebooknya, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak dan peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu memaklumkan mereka belum menerima rekod rayuan.

Terdahulu, Zuraini memberitahu mahkamah bahawa rayuan itu masih di peringkat sebutan dan rekod rayuan belum diterima pihaknya.

"Ia antaranya melibatkan nota keterangan dan alasan kehakiman mengenai keputusan kes itu daripada mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen Ampang)," katanya.

Pada 10 Ogos tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Ampang Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membebaskan Jamal daripada dua pertuduhan dengan sengaja memuat naik video kenyataan jelik dalam laman Facebooknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA