[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Kes kusta di Kelantan meningkat, 16 kes direkod sejak 2023

Bernama 19/06/2025 | 08:31 MYT
Sebanyak 16 kes penyakit kusta telah dikesan di Kelantan sejak 2023, dengan tiga kes direkodkan setakat pertengahan 2025, kebanyakannya jenis Multibacillary (MB). -Gambar fail/Bernama
GUA MUSANG: Sebanyak 16 kes penyakit kusta telah dikesan di Kelantan sejak tahun 2023 sehingga pertengahan tahun ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin.

Ringkasan AI
  • Sebanyak 16 kes penyakit kusta telah dikesan di Kelantan sejak 2023, dengan tiga kes direkodkan setakat pertengahan 2025, kebanyakannya jenis Multibacillary (MB).
  • Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan rawatan pencegahan melalui pemberian Single Dose Rifampicin (SDR) kepada kontak rapat pesakit dan pemantauan berterusan di kawasan berisiko.
  • Penyakit kusta sukar dikenali kerana simptomnya menyerupai penyakit kulit lain, namun ia boleh menyebabkan kehilangan deria rasa; diagnosis memerlukan saringan awal dan analisis makmal.

Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.
Beliau berkata daripada jumlah itu, tiga kes telah direkodkan bagi tahun ini, tujuh kes pada tahun 2023, dan enam kes sepanjang tahun 2024.
"Pada tahun 2023, terdapat tujuh kes iaitu lima kes jenis Multibacillary (MB) dan dua kes jenis Paucibacillary (PB). Bagi tahun 2024 pula, enam kes direkodkan, kesemuanya daripada kategori MB.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan rawatan pencegahan kusta melalui pemberian Single Dose Rifampicin (SDR) kepada individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit, sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kusta Sedunia 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini, hari ini.
Dr Zaini berkata semua pesakit yang telah melengkapkan rawatan, perlu menjalani tempoh pengawasan lanjutan di Pusat Rawatan selama lima tahun bagi kategori PB, dan 10 tahun bagi MB.
"Tempoh rawatan bagi pesakit PB ialah enam bulan, manakala bagi MB pula selama 12 bulan. KKM menjalankan pemantauan secara berterusan, terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko," katanya.
Dr Zaini menjelaskan bahawa penyakit kusta tidak mempunyai simptom yang khusus dan sering disalah anggap sebagai penyakit kulit lain seperti panau.
"Ada keputihan pada kulit, namun perbezaan ketara ialah ia menyebabkan kehilangan deria rasa pada kawasan terlibat kerana gangguan pada saraf.
"Oleh itu, saringan awal dan pengambilan calitan kulit perlu dilakukan untuk dihantar ke makmal bagi tujuan analisis," katanya.
-- BERNAMA
#Kelantan #Zaini Hussin #kusta #KKM