Kes laksa beracun yang kini heboh diperkatakan seluruh negara bukan cubaan menutup isu semasa termasuk perkara membabitkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Individu berpengalaman dalam bidang perisikan negara, Md Tahir Saad berpandangan isu berkenaan tidak kuat untuk mengalih isu besar yang melibatkan penahanan Abdul Azeez dan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu rasuah, baru-baru ini.

“Memang berlaku di mana-mana negara, menjadikan pihak lain sebagai sasaran untuk mengalih satu-satu isu.

“Tetapi dalam kes laksa ini, saya tidak lihat ia untuk mengubah isu Ahli Parlimen, ia hanya kes terpencil di sebuah daerah dalam Kedah sahaja,” katanya.

Md Tahir yang pernah bertugas semasa dalam perkhidmatannya di China dan Timur Tengah turut mempersoalkan masa yang diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Kes keracunan biasa dapat diketahui dalam tempoh terdekat tetapi dalam kes laksa ini, ia mengundang persoalan kerana masa diambil agak lama. Kebarangkalian kes ini dirujuk sebagai kritikal dan memerlukan kepakaran lanjut daripada KKM kerana masa diambil agak lama.

“Perkara ini lebih baik diserahkan kepada mereka. Siasatan perlu dibuat secara terperinci termasuk mengkaji sejarah individu yang keracunan makanan, apa aktiviti dilakukan sebelum itu termasuk makanan apa dimakan sebelum beli laksa di gerai itu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Briged Bakti Malaysia (BBM) cawangan Kedah, turut memberi pandangan kebarangkalian wujudnya faktor lain termasuk unsur sabotaj.

“Daripada 42 kes keracunan, hanya berlaku dua mati dan masih ramai yang beli tetapi tidak mengalami apa-apa kesakitan. Elemen disabotaj itu ada kebarangkalian juga,” katanya.

Dalam pada itu, Md Tahir Saad berkata media dan masyarakat dinasihatkan berhati-hati dalam membuat kesimpulan kes dan tidak mengaitkan isu berlaku dengan ilmu hitam.

“Hal ini akan memberikan kesan ekonomi berpanjangan baik kepada penjual mahupun masyarakat setempat, terutama kampung terbabit kerana ia dikaitkan dengan kejadian di mana berlakunya musibah itu,” katanya.