Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di sini.
MALAYSIA

Kes lemas Taman Prima Saujana: Adik meninggal dunia di hospital, abang masih hilang - polis

Bernama 04/12/2025 | 21:10 MYT
Operasi SAR dua beradik di Taman Prima Saujana, Kajang, melibatkan kekuatan sebanyak 35 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. - Foto JBPM Selangor
KAJANG: Seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras bersama abangnya ketika cuba mengambil bola di dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang, malam tadi.


Ringkasan AI
  • Kanak-kanak lelaki, 12 tahun, yang lemas dalam longkang di Taman Prima Saujana, Kajang, disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang selepas ditemui dalam Sungai Kantan.
  • Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 35 anggota SAR dari Jabatan Bomba, APM, dan PDRM masih berjalan untuk mencari abang mangsa yang berusia 14 tahun.
  • Radius pencarian dalam lingkungan lima kilometer dengan penglibatan pasukan penyelamat di air dan anjing pengesan; penduduk setempat dan Ahli Parlimen Hulu Langat memberi sokongan dalam operasi SAR.


Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof yang mengesahkan perkara itu berkata mangsa yang berusia 12 tahun itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi mereka dilaporkan terjatuh.

"Kanak-kanak lelaki itu ditemukan tidak sedarkan diri di Sungai Kantan dan diberikan bantuan kecemasan pada 7.47 malam sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

"Tapi sedihnya, dukacita saya maklumkan pada 10 malam tadi, beliau telah disahkan meninggal dunia," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, di sini malam tadi.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat juga masih berjalan bagi mencari abang kepada mangsa yang berusia 14 tahun.

Operasi SAR melibatkan kekuatan sebanyak 35 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Naazron berkata tiga pasukan telah dibentuk bagi melaksanakan pencarian di kawasan berkenaan sehingga ke pertemuan muara di Sungai Langat.

"Setakat ini kami masih belum menemui mangsa kedua. Insya-Allah, selagi keadaan cuaca mengizinkan, kami akan teruskan pencarian. Jika keadaan tidak mengizinkan, kami mungkin hentikan seketika dan akan sambung semula esok pagi.

"Kami berharap dan berdoa supaya kita dapat menemukan adik yang masih hilang ini dalam tempoh terdekat bagi memudahkan segala urusan yang berkaitan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata radius pencarian adalah dalam lingkungan lima kilometer dari tempat mangsa terjatuh.

"Kaedah yang kami gunakan termasuk meranduk air. Kami telah bentuk tiga pasukan termasuk satu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA). Di kawasan mangsa pertama ditemukan tadi, kami turut dibantu oleh satu Unit Anjing Pengesan (K9) bomba," katanya.

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan turut hadir mengikuti perkembangan operasi SAR berkenaan dan menzahirkan penghargaan kepada semua anggota dan penduduk setempat yang terlibat dalam membantu operasi berkenaan.

-- BERNAMA





#Taman Prima Saujana #lemas #JBPM Selangor #SAR #dua beradik lemas