Kes-kes mahkamah melibatkan perkara dasar tidak harus diselesaikan melalui mahkamah, sebaliknya lebih baik diserah kepada ahli politik untuk membuat keputusan mengenainya, kata hakim bersara Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

"Biar saya menyatakan secara umum, ada perkara tertentu atau bidang tertentu kehidupan yang tidak dapat memuaskan hati diputuskan melalui kaedah perundangan, apabila elemen dasar adalah sangat tinggi," katanya kepada pemberita dalam temu bual pada Selasa yang diadakan di firma guaman Cheang & Ariff di Jalan Medan Tunku, di sini.

Beliau menjawab soalan media berkaitan kes akhbar mingguan Gereja Katolik, Herald yang dinafikan kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap perintah Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah "Allah'.

"Tiada hakim boleh memenuhi ketepatan 100 peratus. Anda tidak dapat memuaskan hati semua pihak, jadi perbincangan sentiasa akan berterusan selepas kes itu," kata Ariff, yang bersara pada 21 Jan setelah mencapai umur 66 tahun.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa hakim perlu cermat tentang bagaimana mereka membuat keputusan tentang kes itu untuk memastikan mereka tidak melangkaui batasan sempit kes atau perundangan.

Ketika ditanya sama ada Mahkamah Persekutuan sepatutnya memberi kebenaran kepada gereja untuk memfailkan rayuan, Ariff berkata beliau mempunyai pandangan peribadi berkaitan perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, tidak wajar bagi seorang bekas hakim untuk tampil mengkritik badan kehakiman apabila ia membuat satu-satunya keputusan, sama ada betul atau salah.

Beliau berkata bekas hakim perlu ingat bahawa mereka pernah berkhidmat dalam badan kehakiman dan tidak harus melakukan sesuatu yang boleh menghakis integriti badan kehakiman.

Sesetengah daripada kes berprofil tinggi yang diputuskan Ariff adalah rayuan berhubung inkues kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan terbuka Mahkamah Koroner, dan juga kes hasutan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ariff juga membuat keputusan berhubung kes anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama 12 bulan tanpa ganjaran kerana mengeluarkan kenyataan yang mendakwa ada seorang anggota parlimen terlibat dalam kes pembunuhan dan mengeluarkan kata-kata menghina terhadap Timbalan Speaker.

Mengenai persaraannya, Ariff berkata beliau berhasrat untuk kembali ke bidang guaman, mungkin menjadi perunding di samping melakukan tugas-tugas timbang tara, sambil menambah tidak ada undang-undang atau peraturan yang menyatakan bahawa bekas hakim tidak boleh kembali untuk mengamalkan profesion guaman.

Ariff pernah menjadi peguam dari 1986 sehingga September 2008 sehingga beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman.

Beliau menyifatkan kehidupan hakim sebagai sangat tertekan dan tugas yang memerlukan banyak masa sehingga hakim tidak mempunyai masa untuk keluarga atau meluangkan sebahagian daripada masa bersama rakan-rakan.

"Anda perlu berhati-hati ke mana anda pergi dan apa yang dilakukan.

"Anda adalah seseorang tahanan dalam erti kata berada di ruang kamar anda. Anda boleh jadi gila jika tidak menguruskan masa dan diri anda dengan baik terutama di Mahkamah Tinggi," katanya sambil menambah bahawa gaji hakim perlu ditambah selaras dengan khidmat yang diberikan.

Ariff berkata beliau membuat keputusan menyertai badan kehakiman untuk berada di kemuncak kerjayanya.

Memandangkan sekarang beliau telah bersara, Ariff berkata beliau akan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan rakan sambil menambah beliau akan lebih menghargai kebebasan.

Ariff berkata beliau gembira dengan penghakimannya mengenai undang-undang komersial dan timbang tara dengan menyatakan bahawa terdapat perkara-perkara tertentu mengenai undang-undang komersial yang beliau telah bantu untuk menjelaskan kedudukan undang-undang.

Beliau berkata adalah penting bagi badan kehakiman Malaysia untuk membuat keputusan komersial yang berwibawa kerana pihak-pihak dari negara lain membaca penghakiman yang diputuskan oleh badan kehakiman Malaysia mengenai kes-kes komersial dan ini boleh menarik pelabur asing.

"Pertumbuhan ekonomi negara juga bergantung kepada situasi undang-undang negara. Orang luar akan datang ke (Malaysia) bukan hanya kerana kita mempunyai sistem jalan raya yang baik, bangunan tinggi, mereka juga akan melihat undang-undang, keputusan mahkamah, integriti keputusan hakim," kata Ariff.

Beliau berkata badan kehakiman hendaklah melantik orang yang arif sebagai hakim dengan pengalaman praktikal dalam menangani isu-isu komersial untuk bersidang bagi mendengar kes-kes seperti itu.

Ariff juga berkata hakim perlu diberi sedikit masa untuk duduk dan menulis penghakiman yang berkualiti.

Ariff turut ditanya tentang kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang menyaksikan Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman mati ke atas dua bekas komando polis atas pembunuhan wanita itu.

Beliau berkata walaupun dalam undang-undang jenayah, motif pembunuhan bukan elemen yang perlu untuk membuktikan, namun, jika dapat dibuktikan, ia lebih mempunyai nilai keterangan kerana menurutnya setiap jenayah yang dilakukan biasanya mempunyai motif kecuali jika ia dilakukan oleh seorang yang tidak siuman.