Kes Mohd Khairuddin disiasat Bukit Aman

Astro Awani
Mei 29, 2021 08:16 MYT
Kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilaporkan ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) Perasing, Kemaman kini sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Kes melibatkan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilaporkan diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) Perasing, Kemaman sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik yang mengesahkan perkara itu berkata, sebarang perkembangan kes harus dirujuk pada USJT memandangkan unit itu sudah mengambil alih siasatan.
Beliau dalam masa sama mengesahkan kenderaan yang dinaiki Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu diperiksa polis ketika melalui SJR Perasing di Kemaman pada 16 Mei lalu.
"Siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan sedang disiasat oleh USJT Bukit Aman. Siasatan penuh juga akan dijalankan termasuk semua mesej berangkai yang ditularkan sejak Rabu membabitkan Ahli Parlimen itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Sementara itu, portal Malaysiakini melaporkan, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar mengesahkan bahawa siasatan sedang dilakukan.
Bagaimanapun, polis katanya, membuka kertas inkuiri terlebih dahulu bagi memastikan apakah ada kesalahan yang dilakukan dalam kejadian berkenaan.
“Kita buka kertas inkuiri polis dahulu. Kita akan panggil semua yang berkaitan dengan isu ini untuk pertanyaan.
“Untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di SJR dan jika ada berlaku apa-apa kesalahan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sejak beberapa hari lalu, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki Mohd Khairuddin di SJR Perasing tular di media sosial yang turut mendakwa beliau ditemani seorang wanita berprofil tinggi dalam kenderaan dinaiki mereka.
#Mohd Khairuddin Aman Razali #Ahli Parlimen Kuala Nerus #Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi #Sekatan Jalan Raya #Unit Siasatan Jenayah Terkelas #Bukit Aman