KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy hari ini selesai mengemukakan kesnya selepas memanggil 16 saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa pihak pendakwaan menutup kesnya hari ini selepas selesai pemeriksaan balas terhadap Arul Kanda sebagai saksi pendakwaan ke-15.

"Kami dengan ini menutup kes pendakwaan dan menawarkan 18 saksi kepada pihak pembelaan," katanya.

Antara saksi yang ditawarkan ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Hakim Mohamed Zaini kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujah bertulis mereka pada 7 Okt, hujah balasan pada 14 Okt dan hujah secara lisan pada 28 Okt.

Peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Arul Kanda berkata pihaknya akan mengemukakan hujah bertulis berhubung sama ada indemniti patut ditawarkan kepada anak guamnya.

Mohamed Zaini berkata beliau akan memutuskan sama ada Arul Kanda akan diberikan pembebasan penuh atau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) pada akhir kes pendakwaan.

"Saya percaya itu adalah cara yang paling tepat untuk melakukannya," kata hakim.

Kes pendakwaan mengambil masa 43 hari, bermula pada 18 Nov 2019 dengan mendengar keterangan beberapa saksi utama termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Pada 24 Jun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya Arul Kanda memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan itu mengikut Seksyen 63(1) akta SPRM.

Di bawah Seksyen 63(3) Akta SPRM, mana-mana saksi yang dikehendaki memberikan keterangan di bawah subseksyen 1, berhak menerima perakuan indemniti di bawah meterai mahkamah, dan perakuan tersebut hendaklah menjadi penghalang kepada semua prosiding undang-undang mengenai perkara tersebut.

Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA