KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melakukan pendekatan yang lebih proaktif dari segi komunikasi strategik dalam usaha memberi penerangan berhubung isu pengurangan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Penganalisis politik, Rozhan Othman berpendapat, kelemahan komunikasi ini menyebabkan timbul bermacam pandangan berhubung perkara tersebut.

Rozhan menjelaskan, kelemahan komunikasi stretegik ini juga menyebabkan kerajaan terpaksan menjawab kritikan yang ditimbulkan oleh beberapa pihak.

"Saya melihat di sini dari beberapa sudut, kalau kita melihat cara kerajaan perpaduan mengendalikan isu ini saya rasa ada banyak kelemahan darisegi komunikasi strategik.

"Kebanyakkan komunikasi yang berlaku dalam hal ini lebih bersifat reaktif, terpaksa menjawab kritikan-kritikan.

"Saya tidak tahu siapa bertanggungjawab dari segi komunikasi kerajaan atau Jabatan Perdana Menteri tetapi saya berpandangan perlu ada pendekatan yang lebih proaktif.

"Ia perlu dilakukan supaya rakyat dimaklumkan proses-proses sebenarnya dan peruntukan perlembagaan yang mengendali isu pengampunan supaya semua orang dapat faham kenapa ia berlaku, apa yang berlaku dan apa yang telah berlaku.

"Oleh kerana perkara itu tidak berlaku maka ia membuka ruang berbagai pentafsiran yang banyaknya tidak tepat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI yang membincangkan tentang keputusan Lembaga Pengampunan terhadap hukuman melibatkan Najib dalam kes SRC International.

Rozhan menjelaskan, isu komunikasi strategik ini perlu diberi penekanan oleh kerajaan dalam usaha memastikan rakyat memahami proses demokrasi negara ini.

Jelas beliau, jika perkara ini tidak diberi perhatian maka akan ada banyak pandangan yang salah dikeluarkan dan ia boleh mengelirukan rakyat.