KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM 1.1 juta keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar pukul 2.45 petang tadi, selepas selesai membayar sebahagian daripada ikat jamin yang berjumlah RM80,000.

Mahkamah turut mengarahkan Ahli Parlimen Muar itu membayar baki wang jaminan selewat-lewatnya Selasa depan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), menggunakan kapasiti yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana tersebut, di mana tertuduh dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14 ).

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes pada 10 September ini untuk penyerahan dokumen.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Syed Saddiq mengaku tidak bersalah 2 tuduhan pecah amanah

[TERKINI] Sidang media bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman