Kes pegawai SPRM: Polis tahan pegawai kanan miliki dadah, senjata api

Faris Danial Razi
September 23, 2021 14:26 MYT
Datuk Seri Abd Jalil Hassan memaklumkan, tangkapan itu dibuat bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan memiliki dadah berbahaya dan senjata api serta peluru. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki terlibat dalam kes kehilangan wang barang kes berjumlah AS$6 juta ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan memaklumkan, tangkapan itu dibuat bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan memiliki dadah, senjata api serta peluru.
“Sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka berhubung dengan tangkapan tersebut iaitu Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

KENYATAAN MEDIA PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH Makluman Siasatan Kes Pemilikan Dadah Dan Senjata Api Serta Peluru Melibatkan Seorang Pegawai Kanan SPRM. pic.twitter.com/5IukNUaL0J

— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) September 23, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Jelas Abd Jalil, suspek direman selama empat hari bermula 22 hingga 25 September.
BACA: Bukit Aman panggil Hasanah, 3 pegawai kanan SPRM bantu siasatan kehilangan AS$6 juta
BACA: Azam Baki patut direhatkan sementara waktu - Majlis Presiden PH
Sebelum ini, pihak polis dilaporkan akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman enam hari oleh suruhanjaya itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang terbabit.
Polis juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.
Baru-baru ini, tular laporan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.
Wang tunai tersebut didakwa telah dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.
Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.
#Polis Diraja Malaysia #pegawai kanan SPRM #Azam Baki #6 juta