MALAYSIA

Kes pelajar IKBN Miri: 7 pelajar digantung seminggu, elaun dihentikan - Hannah

Ernalisa Othman 25/09/2025 | 09:11 MYT
Hannah berkata, semua pelajar terbabit turut dikenakan tindakan disiplin tambahan termasuk pemberhentian elaun serta larangan keluar kampus atau outing selama sebulan.
PUTRAJAYA: Tujuh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang terbabit dalam insiden gurauan melampau menyerupai perbuatan buli, digantung pengajian selama seminggu, berkuat kuasa Rabu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata tindakan itu diambil selepas rakaman video kejadian berdurasi 13 saat berkenaan tular di media sosial sehingga menimbulkan keresahan orang ramai.

"Keputusan penggantungan dibuat oleh Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN yang diadakan pada Rabu.

"Selain penggantungan, semua pelajar terbabit turut dikenakan tindakan disiplin tambahan termasuk pemberhentian elaun serta larangan keluar kampus atau outing selama sebulan.

"Mereka juga diwajibkan melakukan kerja amal dan perlu melapor diri secara berkala kepada pegawai disiplin sepanjang tempoh hukuman," katanya dalam sidang media di Putrajaya, pada Khamis berhubung siasatan kes berkenaan.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, budaya sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan nilai pendidikan malah boleh merosakkan usaha membina persekitaran selamat untuk golongan belia.

Beliau memaklumkan mangsa turut dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan didapati tidak mengalami kecederaan fizikal.

“KBS tetap bertegas bahawa perbuatan melampau tidak boleh dianggap remeh. Institusi pendidikan mesti menjadi ruang yang mendidik serta membentuk pelajar berintegriti.

“Tiga pemeriksaan kesihatan telah pun dilakukan ke atas mangsa... antaranya laporan mendapati mangsa memang mengalami tekanan emosi selepas insiden itu.

“Saya faham hasrat mangsa yang mungkin tidak mahu perkara ini dipanjangkan, tetapi saya perlu bertindak untuk melindungi pelajar akan datang agar episod ini tidak berulang lagi,” katanya.

Hannah menjelaskan, mangsa bersama pelajar yang terlibat akan mengikuti sesi kaunseling yang disusun pihak IKBN Miri bagi membantu kesejahteraan mental dan emosi mereka.

Beliau menegaskan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius isu tersebut kerana tingkah laku berbentuk gurauan keterlaluan tidak sepatutnya berlaku di institusi pendidikan.

“Pihak kementerian menerima laporan polis mengenai kes berkenaan dan mangsa juga telah tampil membuat laporan polis dan kita juga telah memanggil semua yang terlibat,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, katanya pemantauan lebih kerap oleh Unit Hal Ehwal Pelajar akan dilaksanakan selain sesi motivasi dan kaunseling berterusan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, KBS juga akan melantik Pegawai Perhubungan Institut bagi mengadakan program pencegahan keganasan dan buli bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk siri ceramah setiap suku tahun.

Beliau menambah, mekanisme peti aduan turut diperluas untuk memudahkan pelajar membuat laporan segera agar kejadian seumpama itu dapat dicegah lebih awal.

Sebelum ini, tular video insiden menunjukkan beberapa pelatih lelaki mengangkat seorang rakan dengan kaki terkangkang sebelum menghentaknya ke tiang, mencetuskan kebimbangan masyarakat mengenai gejala buli.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata mangsa dan bapanya memilih untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang walaupun polis telah membuka kertas siasatan.







#IKBN Miri #KBS #kes buli #Hannah Yeoh