MALAYSIA

Kes pelajar UniSZA maut: Pemandu didakwa mencuri

Bernama 22/01/2026 | 09:30 MYT
Mohd Izuddin didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, kali ini atas pertuduhan mencuri wang tunai dan beberapa barangan milik seorang anggota tentera.

Mohd Izuddin Zakaria, 32, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Dia didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM200, sebuah beg dan beberapa barangan seperti kad kuasa tentera, kad ATM dan lesen memandu milik anggota tentera berusia 29 tahun itu di laluan parkir kereta Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, kira-kira 1.15 tengah hari pada 5 Jan lepas.

Mohd Izuddin didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Feb untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 12 Jan, Mohd Izuddin didakwa memandu secara berbahaya sehingga berlaku kemalangan dan menyebabkan kematian Syakirah Hanan Mazli, 25, di lampu isyarat Jalan Kemajuan, di sini pada 1.55 tengah hari, 5 Jan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru selepas dilaporkan mengambil ubat psikotropik.

-- BERNAMA



#kemalangan maut #Honda Jazz #pelajar unisza